Friday 28 November 2014

~ Antara Pasir dan Krim ~


ANTARA PASIR DAN KRIM

 
Artikel ini ditujukan kepada warga pelajar di UK khususnya, dan kepada mana-mana pelajar Malaysia yang sedang belajar di luar Negara amnya.
------------------------------------------------------------------------

Selamat datang ke Kerajaan yang Bersatu (United Kingdom, UK)!

Anda telah diberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran tertiari di sini!

Bukan senang nak datang sini, dapat belajar dengan Mat Saleh.

Hidup dalam persekitaran yang berbeza daripada biasa.

Belajar cakap “wa’er, cheers, howdy, mate” dengan accent Malaysia.

 

Seronoknya kalian berada di sana. Mesti hidup pun lain, kan?

… Atau sama sahaja.

 



 

Antara beratus-ratus pemohon yang mahu memasuki Universiti di UK, sama ada melalui UCAS, referral atau pemohonan secara terus, anda telah diterima oleh pihak Universiti.

Ini bermakna anda berhak untuk berada di sini. Buktinya, hasil pencapaian anda dalam peperiksaan A-Level, International Baccalaureate (IB), Matrikulasi dan Diploma yang cemerlang melayakkan anda untuk meneruskan perjalanan anda sebagai seorang pelajar.

Anda adalah crème of the crème, pelajar terbaik daripada sekolah rendah, sekolah menengah dan kolej. Sijil PMR dan SPM anda memaparkan bilangan A yang diperolehi. Ada yang dapat straight A, ada yang  10+A, ada yang dapat anugerah. Ada yang dapat tajaan.

Tahniah saya ucapkan.


Hakikatnya, saya sendiri pun tak sehebat anda, apatah lagi dapat anugerah.  Anugerah Pelajar Terbaik, Anugerah Dekan. Anugerah Sportsman.

 

Baru-baru ini, saya menghadiri Nottingham Malaysian Games (NMG) 2014. Dapat bertemu rakan sekolah menengah, kawan baik, rakan sekolej, teman sepengajian dan teman sepermainan, adalah perkara yang epik. Melihat peserta bermain congkak, futsal dan badminton sedikit sebanyak menghilangkan kerinduan saya terhadap sukan di Malaysia. Nasi Lemak, antara menu paling laku sewaktu Pesta Makanan dijalankan.Ketika berada di dalam kereta api menuju pulang  ke rumah, saya menerima satu notifikasi dari rakan baik, A di FB.

 

Tapi sayangnya, saya terkilan pabila membaca statusnya. Terkejut. Dagu terlopong, badan terkaku. Bukan apa.

 

‘Malaysia Truly Asia’.

Disertakan beberapa gambar sampah merata-rata tempat. A (bukan nama sebenar) memaparkan imej berkenaan sebaik sahaja acara NMG tamat.

 





 

Sedih, dan kecewa.

 

A bekerja sebagai pembantu sukarela untuk acara NMG. Dia ditugaskan selepas acara sukan, jadi tidak ramai tahu akan hal ini. Dia mengutip sampah di sekeliling Universiti, padang dan lokasi acara.

 

Hakikatnya, tong sampah disediakan dengan banyaknya di sekitar lokasi acara sukan. Yang menyedihkan, ada bungkusan makanan yang dibiarkan di atas meja, seolah tuannya tinggalkan begitu sahaja.

 

Yang pasti, ini bukan salah penganjur. Tapi salah mereka yang berbuat demikian. Meskipun berada di UK, sikap seperti ini tidak harus dibawa sekali. Mentaliti pelajar, nampaknya, tidak cukup matang.

Namun, ini bukanlah satu blame game. Tapi satu refleksi buat kita semua.

 

Maka, saya terpanggil untuk membuat satu wake-up call kepada para pelajar di UK (Kerajaan yang Bersatu). Dan hasilnya, saya menulis artikel ini, berdasarkan beberapa bacaan ilmiah dan diskusi sesama rakan.

 

Terdapat beberapa isu yang saya ingin ketengahkan, iaitu tentang 3S (Sampah, Sapa, Sosial).

 

1. Sampah.

Isu ini telah saya huraikan di atas. Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Nak kata tiada tempat, penganjur sudah letakkan dustbin besar. Beg plastik pun boleh ditukar dan diisi semula. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih.

 


Malah, Jepun telah mewajibkan murid sekolah rendah untuk mencuci tandas (tak tipu, tandas!) 15-20 minit sehari. Maka, tak hairanlah kalau anda tidak menjumpai sampah merata-rata di UK. Malah, kerajaan Singapura memberi denda hingga sebanyak $2,000 kerana membuang sampah merata-rata.

 

Kesannya: Masyarakat Malaysia dilabel sebagai pengotor. Pihak penganjur terpaksa membayar denda atas sampah yang anda bunag merata-rata tempat. Tidak mencerminkan identiti pelajar Malaysia yang dikenali dengan kebersihannya (Sebab itu kalian mudah mendapat rumah untuk disewa dari tuan tanah, berbanding dengan pelajar lain. Parti tak ingat dunia. Bersepah merata.)

 
Jadi, apa alasan anda? Saya yakin andalah bakal pemimpin masa akan datang. Anda memiliki minda kelas pertama, bukan?  Hati dan jiwa yang bersih lahir daripada persekitaran yang bersih, kan?

 

2. Sapa, Bertegur sapa

Isu ini tidak sesensitif isu kandungan DNA babi dalam Cadbury atau Kampung Chubadak, namun saya kira ini isu identiti. Lagi-lagi, bila ia melibatkan sapaan yang terpantul 45 darjah ke tanah. Saya sendiri mengalami isu ini.

 

Situasi (contoh):

Saya terserempak seorang Malaysian (saya yakin, kerna kulit sawo matang dan firasat). Saya senyum, sambal berkata: “Selamat petang!”. Dia (pelajar itu) seakan tidak sedar, lalu berjalan melepasi bahu kiri saya begitu sahaja. Senyap. Tiada reaksi.

 

Tunduk malu, agaknya.

 

Kejap, dia itu lelaki.

 

Seolah-olah sapaan saya terpantul/ terbias sejauh 45 darjah ke arah kasutnya. Tiada respons. Nak kata saya tak lantang berkata, saya yakin suara saya dapat didengari  dari satu jarak yang agak jauh.

 

Ya, itu dia. Begitu ramai pelajar Malaysia di sesebuah tempat. 500-1000 orang bilangannya, dan semakin bertambah.

 

< Penulis menarik nafas >

 

Sampaikan bagi salam kepada pelajar Muslim, pun tiada balas. Maafkan saya, tapi ketidak endahan anda merisaukan saya. Sehinggakan salam itu terpantul /terbias ke tudung, ke baju atau ke lantai.

 

Bukan apa.

 

Saya takut anda, sebagai pemimpin masa depan, bersikap sedemikian. Ekspresi muka yang statik, tak ubah macam patung, apabila bertemu rakyat.  Hanya sepatah dua perkataan dapat didengari. Anda akan jadi macam ‘Yes Man’.

 

Kalau anda segan untuk bertanya sapa atau memberi salam, senyum pun jadilah. Asalkan identiti diri bahawa orang Malaysia kaya dengan hemat akhlak dan budi bicaranya hilang di mata antarabangsa tidak hilang begitu sahaja.

 

Bahasa jiwa bangsa. Bukankah begitu?

 

Jangan sampai ada yang lemah/ bosan sehingga berkata:

“ Kau tahu tak, malas la aku nak sapa diorang. Bukan diorang balas pun. Buat der je. Aku pun rasa  annoyed. Baik tak layan diorang.”

 

Come on la, hidup ini kita perlu bekomuniti, bukan bersendiri. Kan?

 

3. Sosial.

Saya kira setiap pembaca memiliki satu akaun MukaKitab (FaceBook, FB). Macam-macam jenis pos saya temui di ruang maya MukaKitab.Ada yang bersifat ilmiah, ada yang bebentuk peribadi, ada yang berjela-jela komen dan pendapat, ada yang memberi nasihat atau motivasi, dan ada juga yang mengutuk/ mengaibkan seseorang.

 

Saya kira MukaKitab itu bukan lagi satu ruang privasi. Maka, tidak hairanlah jika ada kalanya saya terbaca pos rakan saya dari UK yang bertujuan memburukkan nama negara.

 

Kejap, saya sebut ‘memburukkan’?

 

Mungkin’ memalukan’ atau ‘menjatuhkan’ lebih jitu maknanya dalam konteks ini.

Ada juga pos yang saya baca berunsur politik, kekauman, sensitiviti agama dan penghinaan.

 

Contohnya? Cari sendiri. Saya malas nak menyebut satu-persatu. Anda boleh selidik sendiri. Banyakkan membaca berita, surat khabar. Buku dan jurnal juga berguna sebagai rujukan. Sertai diskusi ilmiah yang sihat. Kita ada salurannya, Cuma perlu individu seperti anda mampu memberi penjelasan dan penyelesaian.

 

Saya tahu anda tak suka kerajaan. Jadi, apa langkahnya? Anda belajar bersungguh-sungguh, agar andalah yang mengubah kerajaan sedia ada.

 

Bentukkan masa depan negara mengikut profession masing-masing. Setiap orang ada peranannya yang tersendiri.

 





Kuncinya di sini, jadikanlah ruang sosial maya sebagai platform untuk meningkatkan mutu pemikiran kritikal anda, bukannya bergaduh atas komen yang remeh temeh.

Anda bukannya pasir, yang banyak bilangannya tapi kurang inputnya. Sekali kena air, terus hilang kesan ‘lukisan kehidupan’. Lupa jati diri. Lupa asal usul.
 

Ketahuilah, anda ibarat krim, lemah lembut dan mesra dalam budi bicara. Tidak lekat dengan perbezaan tempat, tapi cepat meresap dalam hati. Walaupun suhu yang panas mencairkan anda, tapi anda tetap cool dan beretika sepanjang masa.

Jadi, anda sekarang ibarat pasir, atau krim? 

Syukur Malaysia masih aman makmur.


 

Haniff Nasir

28.11.2014, 00:00

Ardwick, Kerajaan yang Bersatu

 

P/S: Sila berikan respons anda di bawah. Komen jangan tak komen!

Apendiks: Status asal berkenaan: